KUCHING, 17 MAC – Polis sedang memburu dua lelaki tempatan yang melarikan diri daripada tahanan sah di Mahkamah Kuching di sini kira-kira 11:30 pagi, 7 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee berkata kedua-dua lelaki itu dikenali sebagai Mohd Hissyalezwan Abd Zamri, 27, dari Kampung Hilir, Serian manakala Muhammad Nasrie Razali, 25, dari Kampung Baru, Kota Samarahan, dekat sini.
Beliau berkata kedua-dua tahanan terbabit masih dalam tempoh perbicaraan bagi kes di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan berkaitan samun berkumpulan tanpa senjata api.
“Mana-mana individu yang melindungi atau membantu kedua-dua suspek boleh didakwa di bawah Seksyen 225(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun serta denda,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – Bernama
