Tuesday, May 6, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis cekup konco sindiket dadah Australia

    BANGKOK, 13 Dis – Seorang lelaki warga Australia yang dikaitkan dengan “Hells Angels” diberkas di Bangkok kerana menyeludup dadah, menurut polis semalam, ketika pihak berkuasa Thailand menangani jenayah terancang oleh geng-geng motosikal di negara beraja itu.

    Pegawai-pegawai imigresen telah menahan Luke Joshua Cook, 34 tahun dan juga isterinya warga Thailand, Kanyarat Wedphitak di lapangan terbang utama Bangkok Sabtu lalu kerana cuba menyeludup setengah tan syabu masuk ke Thailand pada tahun 2015. Cook dituduh cuba memunggah naik dadah dari sebuah bot yang berlabuh di Teluk Thailand. Dia menjadi takut dengan kehadiran sebuah bot peronda dan kemudian menghumbankan sejumlah besar syabu dari bot.

    Kira-kira 50 kilogram dadah kemudian hanyut di pantai selatan Thailand.

    Penahanan Cook dibuat ketika tindakan meluas ke atas Hells Angels yang mempunyai banyak cawangan yang berpangkalan di Bangkok dan Pattaya, sebuah peranginan Thailand yang terkenal dengan kehidupan malam dan rangkaian jenayahnya.

    Pihak polis telah menjalankan serbuan ke atas kediaman dan perniagaan geng-geng motosikal di Pattaya minggu lalu dan pada Ahad lalu, dengan merampas wang, harta, kenderaan dan senapang.

    “Ia adalah pertubuhan jenayah transnasional yang meningkatkan operasinya di Thailand,” Mejar Jeneral Apichat Sirisith memberitahu para pemberita semalam ketika pihak polis mendedahkan tentang penahanan Cook.

    Berasal dari AS, Hells Angels merebak ke negara-negara lain, dengan mengembangkan kumpulannya di seluruh dunia.

    Hells Angels Australia terkenal dengan pelacuran, kegiatan haram, dadah dan perdagangan senjata dan telah meluaskan operasinya ke Asia Tenggara ketika pihak berkuasa memburu mereka di tanah air asal. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda