BEIJING, 11 NOV – Polis China telah mengekang satu fenomena internet yang menyaksikan ribuan penunggang basikal meramaikan lebuh raya pada waktu malam untuk menikmati dumpling di sebuah bandar berdekatan.
Pelajar universiti mencetuskan trend ini beberapa minggu lalu apabila mereka memuat naik tentang kayuhan malam dari bandar pusat Zhengzhou ke Kaifeng, yang terletak kira-kira 80 kilometer jauhnya, untuk menikmati sup dumpling terkenal dari kawasan itu, menurut media kerajaan.
Aktiviti itu menjadi tular, dengan gambar kayuhan terkini menunjukkan lebuh raya bertingkat yang menghubungkan kedua-dua bandar dipenuhi dengan ribuan penunggang basikal, ada yang menunggang basikal kongsi berwarna cerah yang digelar ‘Tentera Kayuhan Malam’.
Pada mulanya, pihak berkuasa menyambut baik kegembiraan yang murni ini, namun kemudiannya mengenakan sekatan trafik selepas jumlah peserta yang terlalu ramai menyebabkan kekecohan trafik dan kebimbangan keselamatan.
Satu kenyataan dalam talian daripada polis wilayah pada Sabtu berkata bahawa jalan tersebut akan ‘ditutup kepada kenderaan bukan bermotor’ dari jam 4 petang hingga tengah hari pada Ahad “kerana ia dipenuhi oleh basikal kongsi dan objek lain di pelbagai lokasi.”
Dalam kenyataan yang berasingan, kerajaan bandar Kaifeng menyebutkan risiko penunggang jatuh dan mengalami kecederaan, atau menyekat pengguna jalan raya lain daripada mendapatkan rawatan perubatan.
“(Awda) telah menunjukkan kemahuan waktu muda yang suka berseronok,” katanya, “tetapi… semakin ramai orang mula bimbang tentang bahaya yang tidak nampak.”
Tiga syarikat basikal kongsi utama berkata pada Sabtu bahawa mereka akan mengenakan sekatan geografi baru, menambah bahawa kenderaan tersebut akan terkunci secara automatik sekiranya penunggang terus berada di kawasan yang dilarang. – AFP