Saturday, December 28, 2024
21.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis China tangkap 230 ahli skim piramid

    BEIJING, 31 Julai – Polis China menahan 230 ahli yang disyaki melakukan skim piramid, seminggu selepas demonstrasi di Beijing yang membantah tindakan tegas ke atas kumpulan tersebut.

    Skim tersebut, dikenali sebagai Shanxinhui atau “pertukaran amal”, berada dalam penyiasatan dan pengasas kumpulan itu, Zhang Tianming, bersama dengan beberapa pekerja, ditahan awal bulan ini.

    Tetapi dalam mempamerkan keingkaran umum yang luar biasa, beratus-ratus penunjuk perasaan yang terlibat dalam skim tersebut berhimpun di ibu negara Beijing pada Isnin lalu dan 67 daripada mereka telah ditahan.

    Gambar-gambar dan video dalam media sosial menunjukkan sekumpulan besar melaungkan slogan-slogan dan memegang pemidang berwarna merah menggesa Presiden Xi Jinping untuk menghentikan penyiasatan terhadap kumpulan itu, yang mereka gambarkan sebagai platform sah yang ‘ditindas’.

    Bantahan dengan ukuran seperti itu jarang berlaku di Beijing, di mana parti Komunis yang memerintah hanya mempunyai sedikit toleransi bagi demonstrasi umum dan ia sensitif kepada aktiviti di ibu negara tersebut.

    Semalam, biro keselamatan umum Guangdong berkata dalam akaun media sosial rasminya bahawa seramai 230 ahli skim itu telah ditahan, dengan 142 berdepan dakwaan jenayah.

    Ia menambah bahawa 55 buah syarikat disyaki terlibat dalam skim terbabit yang masih disiasat, dan berikrar untuk ‘mengekalkan tindakan tegas’.

    Shanxinhui adalah ‘Falun Gong era baru’, kata seorang pengguna media sosial hari ini, yang merujuk kepada kumpulan agama ditegah yang ditindas kejam oleh kerajaan China selama hampir dua dekad selepas ia mengadakan bantahan besar-besaran di tengah Beijing. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda