Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis di Norway bakal dibenarkan bawa senjata api

    OSLO, 13 JUN – Pegawai polis Norway, yang sebelum ini kebiasaannya tidak bersenjata semasa menjalankan tugas harian, pada masa akan datang dibenarkan membawa senjata api berikutan perubahan undang-undang yang diluluskan kelmarin.

    Ahli Parlimen secara majoriti menyokong cadangan kerajaan minoriti Parti Buruh untuk membenarkan pemilikan senjata secara meluas dalam kalangan anggota polis.

    Ketua-ketua polis akan diberi kuasa untuk menetapkan syarat dan tahap pemakaian senjata api dalam kalangan anggota, bergantung kepada lokasi, masa dan tugasan.

    Tarikh sebenar pelaksanaan undang-undang tersebut masih belum ditetapkan, namun kementerian kehakiman negara itu, yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negeri, mensasarkan pelaksanaannya pada tahun hadapan.

    “Setiap orang di Norway mesti rasa selamat. Polis mesti mampu menangani jenayah yang sentiasa berubah,” kata Menteri Kehakiman Astri Aas-Hansen bulan lalu ketika mengumumkan cadangan pindaan undang-undang berkenaan.

    Seorang pelatih polis menyertai latihan senario tembakan dalam sebuah bilik gelap dengan skrin besar yang memaparkan pelbagai situasi di Akademi Polis Oslo pada 10 Februari 2023. – AFP

    Kadar jenayah di Norway masih rendah berbanding negara lain di seluruh dunia, namun mencatat peningkatan secara beransur-ansur.

    Negara Scandinavia itu yang mempunyai 5.6 juta penduduk mencatatkan 38 kes pembunuhan pada tahun 2023 – angka tertinggi sejak 2003, menurut statistik jenayah ganas oleh pihak polis.

    Buat masa ini, polis Norway hanya dibenarkan membawa senjata dalam tempoh tertentu dan dalam keadaan khas sahaja.

    Kebiasaannya mereka tidak bersenjata, walaupun senjata masih boleh disimpan di dalam but kenderaan mereka. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda