KAHERAH, 1 Nov – Pasukan keselamatan Mesir berjaya menyelamatkan seorang anggota polis yang telah diculik oleh pengganas dalam pertempuran berdarah baru-baru ini di selatan Kaherah, menurut agensi berita MENA yang memetik sumber tempatan daripada pihak keselamatan.
“Pasukan keselamatan berjaya menyelamatkan Mohamed al-Hayes dari Jabatan Keselamatan Gaza yang telah diculik pengganas yang terlibat dalam serangan pengganas Al-Wahat,” kata seorang pegawai keselamatan kanan yang merujuk kepada pertempuran pada 20 Oktober lepas.
Hayes telah diculik semasa pihak polis bertempur dengan pengganas di kawasan padang pasir di pinggir Giza, selatan Kaherah, yang menyebabkan 16 anggota polis terbunuh manakala 13 lagi tercedera. Pertempuran itu juga menyebabkan 15 militan terbunuh ataupun tercedera.
Tentera udara Mesir telah berjaya membunuh “sejumlah besar pengganas” dan memusnahkan tiga kenderaan yang berisi senjata, bahan letupan dan peluru di kawasan pergunungan di barat Fayoum, selatan Kaherah, Selasa lalu menurut kenyataan tentera.
Pasukan keselamatan juga telah mengumumkan bahawa mereka telah berjaya membunuh 12 “pengganas yang sangat berbahaya” di padang pasir barat Al-Wahat di mana 16 anggota polis turut terbunuh.
Mesir telah berhadapan dengan pemberontakan berdarah yang membunuh ratusan anggota polis dan tentera semenjak pihak tentera menggulingkan Presiden Mohamed Morsi pada Julai 2013 sebagai tindak balas bantahan besar-besaran terhadap pemerintahan setahun Morsi.
Serangan ganas tertumpu di Utara Sinai sebelum tersebar ke seluruh negara dan turut menyasarkan minoriti ‘Coptic’, yang kebanyakannya didakwa dilakukan oleh kumpulan yang berpangkalan di Sinai dan mempunyai hubungan dengan militan IS.
Tentera dan polis Mesir telah membunuh ratusan militan dan menahan ratusan lagi suspek sebagai tindakan negara itu untuk menentang keganasan yang diisytiharkan oleh Presiden Abdel-Fattah Al-Sisi, ketua tentera ketika Morsi digulingkan. – Xinhua