BUENOS AIRES, 29 JULAI – Seorang anggota polis Argentina didapati bersalah atas penyalahgunaan kuasa selepas membenarkan empat orang tahanan keluar dari lokap untuk bekerja sebagai tukang masak, pelayan dan pencuci pinggan di majlis perkahwinannya, menurut laporan media tempatan kelmarin.
Insiden tersebut berlaku tahun lalu apabila pegawai itu membebaskan tahanan dari lokap buat sementara waktu untuk menghadiri majlis perkahwinannya yang terletak hanya satu blok dari balai polis tempat mereka ditahan.
Salah seorang banduan ditugaskan memanggang kambing, namun tidak jelas kesalahan apa yang menyebabkan mereka ditahan atau sama ada mereka telah disabitkan dengan jenayah.
Menurut laporan akhbar El Diario de La Pampa, selepas majlis tamat, keempat-empat tahanan tersebut kembali sendiri ke dalam lokap tanpa sebarang insiden.
“Dia bernasib baik kerana tiada seorang pun daripada mereka melarikan diri,” beritahu pendakwa raya Guillermo Sancho kepada laman berita Infobae.
Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara tertangguh selama 15 bulan ke atas pegawai polis berkenaan atas kesalahan menyalahgunakan kuasa sebagai penjawat awam. – AFP


