Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Seramai 27 anggota tentera dan kakitangan awam Unit Perhubungan Awam, Kementerian Pertahanan hari ini mengadakan lawatan sambil belajar ke Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB).
Ahli rombongan diberikan penerangan dan taklimat yang disampaikan oleh Ketua Unit Perhubungan Awam, Penolong Penguasa Polis (ASP) Mohd Amiruddin bin Haji Tunjang mengenai struktur organisasi PDB dan rangka kerja serta penyaluran maklumat kepada orang ramai berhubung kes-kes jenayah dan lalu lintas.
Mereka juga diterangkan mengenai tatacara perlaksanaan tugas-tugas harian semasa berada di lapangan dan berkongsi ilmu mengenai pengambilan maklumat, gambar dan penulisan bagi disalurkan kepada pihak media massa dan media cetak.
Sejurus selesai taklimat, ahli rombongan dibawa melawat Muzium PDB bagi penerangan tentang sejarah pasukan serta melihat pameran.
