Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis dituduh bakar mayat mangsa diperkosa

    NEW DELHI, 30 SEPT – Polis India hari ini dituduh membakar mayat seorang remaja perempuan mangsa rogol secara paksa, tanpa kerelaan keluarga mendiang.

    Remaja kasta Dalit berusia 19 tahun itu didakwa diperkosa empat lelaki kasta tinggi dan ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah serta lumpuh akibat kecederaan di bahagian leher selain tulang belakang pada 14 September lalu.

    Wanita itu kemudian dikejarkan ke hospital tempatan sebelum dibawa ke New Delhi kelmarin apabila keadaannya bertambah teruk dan meninggal dunia ketika menjalani rawatan pagi semalam.

    Kes berkenaan mencetuskan kemarahan ramai di seluruh negara, ditambah tuduhan bahawa polis merampas mayat mangsa dan menjalankan upacara pembakaran tanpa izin keluarganya.

    Susulan kejadian, satu pertempuran tercetus malam tadi di luar perkarangan hospital, sebelum sekumpulan besar pegawai polis mengiringi kenderaan membawa mayat itu ke sebuah perkampungan di Uttar Pradesh, utara India.

    Menurut keluarga mangsa, mayat anak mereka dirampas pihak berkuasa sebaik tiba di perkampungan di daerah Hathras dan dibakar awal pagi tadi, walaupun dibantah saudara mara serta penduduk kampung.

    Polis tidak memberikan sebarang komen, namun upacara pada jam 3 pagi (waktu tempatan) itu dibantah ahli keluarga, yang menuntut mayat mangsa dibawa ke rumah terlebih dulu, bagi membolehkan semua waris memberi penghormatan terakhir.

    “Kami merayu mereka membenarkan mayat mangsa dibawa pulang ke rumah, namun tidak diendahkan,” kata abang mangsa, yang dipetik akhbar harian Indian Express. – AFP

    Reaksi penyokong Kongres semasa mereka ditahan oleh polis pada tunjuk perasaan di luar bangunan Uttar Pradesh Bhawan di New Delhi kelmarin, sehari selepas seorang wanita berusia 19 tahun yang didakwa diperkosa meninggal dunia berhampiran kampung Bool Garhi. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda