SUVA, 27 NOV – Polis Fiji merampas lebih 400 pokok dipercayai ganja dalam serbuan di kawasan pertanian di Savusavu, Pulau Vanua Levu, pulau kedua terbesar di negara itu.
Operasi tersebut dijalankan oleh pasukan Operasi Savusavu kelmarin, sebagai sebahagian usaha lebih besar untuk menyasarkan kawasan penanaman ganja yang dikenali, menurut laporan Fiji Broadcasting Corporation hari ini.
Ketua Operasi Polis Fiji, Livai Driu berkata pemilik ladang tersebut masih belum dikenal pasti, dan siasatan sedang dijalankan.
Beliau menegaskan bahawa pihak penguat kuasa undang-undang terus mempergiat usaha menangani perdagangan dadah haram, yang kekal sebagai isu mencabar di negara itu. – Xinhua