Thursday, October 31, 2024
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Filipina berkas suspek kes penculikan rakyat Amerika

    MANILA, 30 OKT – Polis Filipina berkata hari ini bahawa mereka telah menangkap tiga suspek dalam kes penculikan seorang rakyat Amerika di selatan negara itu dan percaya mangsa, yang telah ditembak di kaki semasa penculikan, masih hidup.

    Dua daripada suspek dalam kes penculikan Elliot Onil Eastman, 26, pada 17 Oktober di bandar Sibuco, provinsi Zamboanga del Norte, menyerah diri secara berasingan dan menunjukkan kepada seorang lagi suspek, yang ditangkap di Sibuco, kata pegawai polis.

    Tiga suspek lain, yang mungkin menahan Eastman, telah dikenal pasti, kata polis, menambah bahawa lebih ramai orang mungkin terlibat. Aduan jenayah penculikan telah difailkan terhadap enam suspek kelmarin.

    “Kami percaya dia masih hidup, jadi operasi kami sedang diteruskan,” kata jurucakap polis wilayah, Lt. Kol. Helen Galvez kepada Associated Press melalui telefon.

    “Pencarian kami tidak akan berhenti sehingga kami menjumpainya.”

    Pencarian dari rumah ke rumah sedang dijalankan di satu kawasan yang tidak dinyatakan, kata Galvez tanpa memberikan butiran lanjut. Beliau menambah bahawa suspek merupakan anggota kumpulan jenayah dan bukan daripada mana-mana kumpulan pemberontak bersenjata Islam, yang telah dipersalahkan atas beberapa kes penculikan tebusan di selatan Filipina selama beberapa dekad. – AP

    Seorang pegawai polis memeriksa kawasan pada 18 Oktober, di mana Elliot Onil Eastman dilaporkan diculik oleh penyerang di bandar Sibuco, provinsi Zamboanga del Norte, selatan Filipina. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda