SIBU, 25 OKT – Polis sedang giat mengesan suspek yang menembak seorang lelaki dalam kejadian di Lorong Wong King Huo 21 di Sibu, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata suspek yang masih belum dikenal pasti itu telah melepaskan tembakan terhadap mangsa berusia 46 tahun menyebabkan kecederaan pada bahu kanan dalam kejadian pada kira-kira 2:20 petang.
“Hanya satu das tembakan dilepaskan dan mangsa yang cedera di bahu sedang menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di sini dan berada dalam keadaan stabil,” katanya satu kenyataan di Sibu hari ini.
Beliau berkata satu kesan tembakan ditemui pada cermin hadapan kenderaan pacuan empat roda mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – Bernama
