ATHENS, 1 SEPT – Polis Greece dan Jerman telah berjaya menumpaskan rangkaian dadah antarabangsa yang disyaki mengedarkan kokain di Jerman, Greece dan beberapa negara Kesatuan Eropah lain, dengan menahan lima lelaki serta merampas 300 kilogram kokain, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut kenyataan polis Athens kelmarin, antara yang ditahan ialah seorang warga Jerman berusia 66 tahun serta dua lelaki berusia 27 dan 28 tahun yang kewarganegaraannya tidak didedahkan.
Di Greece, dua lagi suspek lelaki berusia 52 dan 62 tahun turut diberkas.
Polis Athens menggambarkan kumpulan itu sebagai sindiket yang sangat terancang, dengan setiap anggota diberikan peranan khusus termasuk menyelaras pengangkutan, merekrut pemandu, serta menjual dan mengedar dadah berkenaan. Lokasi serbuan tidak didedahkan, manakala beberapa lagi anggota sindiket yang identitinya belum dikenal pasti masih bebas, menurut kenyataan itu.
Penyiasat Greece menganggarkan sindiket berkenaan meraih kira-kira sebanyak AS$5.8 juta sebelum ditumpaskan.
Operasi dadah di Greece sering tertumpu di pulau-pulau pelancongan terkenal seperti Mykonos yang menarik ramai pengunjung berprofil tinggi, menurut polis.
Jabatan Polis Athens berkata operasi itu dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Jerman, dengan petunjuk penting diperoleh daripada Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA). – Bernama


