LOS ANGELES, 1 JUN – Seekor beruang terperangkap di dalam sebuah kereta yang diletakkan telah dibebaskan oleh timbalan syerif Amerika Syarikat (AS) dengan pendekatannya yang kreatif, iaitu menggunakan tali untuk membuka pintu kereta tersebut.
Beruang hitam itu masuk ke dalam sebuah kereta yang diletakkan di kawasan kejiranan Nevada, berkemungkinan sedang mencari makanan, dan kemudian terperangkap apabila pintu kenderaan tertutup.
Pegawai dari Jabatan Syerif Washoe County dimaklumkan mengenai beruang yang terperangkap itu, dan membuat rancangan untuk membebaskannya.
Rakaman video oleh jabatan berkenaan menunjukkan seorang pegawai dengan berhati-hati mengikat tali kuning pada pemegang pintu belakang sebelum berundur.
Setelah berada di kedudukan yang selamat dan bersembunyi di belakang objek besar, pegawai itu menarik tali tersebut lalu pintu kereta itu terbuka.
Sejurus itu, beruang itu keluar dan kemudian melarikan diri ke kawasan hutan, meninggalkan kesan rosak yang teruk pada SUV hitam itu, yang dilihat terkoyak ketika haiwan ganas itu cuba melepaskan diri.
Beruang hitam, yang boleh membesar sehingga 270 kilogram, merupakan binatang omnivor yang mempunyai deria hidu yang kuat dan kadangkala ia mencari makanan di kalangan manusia.
“Musim bunga adalah waktu aktif bagi beruang Tahoe dan ini adalah peringatan yang baik untuk kita terus berwaspada tentang beruang ketika sedang menikmati aktiviti luar,” menurut Jabatan Syerif Washoe County melalui Twitter Ahad lalu. – AFP