Polis HK tolak campur tangan China

HONG KONG, 16 OGOS – Polis Hong Kong yakin mereka mempunyai sumber yang cukup untuk mengawal keadaan yang dicetuskan oleh penunjuk perasaan prodemokrasi, wa-laupun ia dijangka berterusan lebih lama.

Kenyataan itu ternyata meredakan keadaan, ketika timbul kebimbangan mengenai campur tangan pihak keselamatan dari tanah besar China.

Terdahulu, tiga komander kanan polis Hong Kong berkata, mereka tidak dimaklumkan mengenai sebarang rancangan oleh kerajaan China untuk menghantar tentera darat atau polis dari tanah besar, walaupun keadaan bertukar menjadi semakin ganas.

Namun, mereka mengakui bahawa sebarang keputusan akan meletakkan polis bandar raya itu dalam satu kedudukan yang tidak dapat dipastikan.

Pada masa sama, mereka menegaskan bahawa isu itu tidak perlu dibincangkan kerana pihak berkuasa tempatan mampu mengendalikan krisis berkenaan.

“Saya tidak dapat membayangkannya. Pada peringkat operasi, kita mempunyai kemampuan dan pengalaman.

“Saya fikir kita mempunyai keazaman dan keupayaan dari segi sumber untuk terus mengawal keadaan,” kata salah seorang komander kanan itu.

Ketiga-tiga pegawai kanan itu bersetuju ditemu bual sekumpulan wartawan asing dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan, supaya mereka dapat menyatakan pandangan dengan lebih terbuka mengenai krisis berkenaan.

Sehingga kini, tiada pemimpin Beijing atau Hong Kong yang sanggup menawarkan sebarang kompromi, sekali gus menyebabkan pasukan polis menjadi kebencian bagi sebahagian penunjuk perasaan anti kerajaan. – AFP