HONG KONG, 8 MEI – Polis Hong Kong menahan lima lelaki yang cuba merompak sebuah kedai barang kemas, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan penyerang bertopeng menggunakan parang dan tukul besi di dalam kedai.
Percubaan rompakan pada siang hari itu berlaku di daerah beli-belah Tsim Sha Tsui yang sibuk kelmarin, apabila lima lelaki itu dilihat dalam rakaman CCTV turun dari sebuah kereta putih.
Suspek-suspek dilihat bergegas masuk ke kedai jam tangan dan barang kemas dan mula memecahkan cermin, di hadapan pekerja.
Tidak sampai 20 saat kemudian, anggota polis berpakaian biasa meluru masuk dengan bersenjatakan pistol, mengejutkan kumpulan tersebut yang membuang senjata mereka dan merebahkan diri ke lantai.
Penguasa polis, Gar Kam-lam berkata, para penyiasat jenayah telah mengumpul bukti dan mengetahui bahawa kedai barangan mewah di sekitar Tsim Sha Tsui sering menjadi sasaran rompakan.
“Pegawai-pegawai melihat kumpulan lelaki itu masuk ke dalam kedai dengan parang dan tukul, jadi pegawai-pehawai masuk ke dalam kedai dan berjaya menahan mereka,” katanya semasa taklimat media. Lima yang ditahan berusia antara 23 dan 36 tahun, dengan hanya seorang daripada mereka memegang kad pengenalan Hong Kong.
Dua lagi memegang borang pengik-tirafan, yang membolehkan mereka tinggal di bandar itu tetapi menghalang mereka daripada bekerja, manakala dua lagi disyaki pendatang haram, kata Gar. – AFP
