Sunday, April 20, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis India tembak mati ‘si pemakan manusia’

    NEW DELHI, 9 OKT – Polis India telah menembak mati seekor harimau yang digelar sebagai ‘Champaran si pemakan manusia’ yang telah membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang, dalam operasi besar-besaran melibatkan 200 orang termasuk penjejak gajah, menurut pegawai hari ini.

    Harimau itu telah mengganggu penduduk tempatan di pinggir Rizab Harimau Valmiki di Champaran di timur India, membunuh sekurang-kurangnya enam orang dalam beberapa bulan kebelakangan termasuk seorang wanita bersama anaknya yang berumur lapan tahun pada Sabtu.

    Malahan sebelum dua pembunuhan terbaharu itu, pihak berkuasa telah menetapkan bahawa harimau itu, yang dilaporkan seekor harimau jantan berusia tiga atau empat tahun, sebagai ‘pemakan manusia’, dan bermakna ia dibenarkan untuk ditembak.
    Sebelum ini usaha untuk me-nenangkan haiwan itu gagal.

    “Dua pasukan dihantar ke dalam hutan menaiki seekor gajah pada petang Sabtu dan pasukan ketiga menunggu di kawasan dijangka harimau itu akan keluar – dan kami melepaskan lima tembakan untuk membunuhnya,” kata ketua polis tempatan, Kiran Kumar kepada AFP.

    Dengan penduduk kampung memukul bekas tin, ia mengambil masa enam jam untuk pasukan itu – dengan lapan orang penembak dan kira-kira 200 orang pegawai jabatan perhutanan – untuk menamatkan operasi itu, jelas Kumar.

    Pegawai berkata ladang tebu yang luas telah membuatkannya mudah untuk harimau itu untuk bersembunyi dan menyerang penduduk tempatan dan haiwan ternakan.

    Antara mangsa-mangsa yang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diheret daripada katilnya pada malam Rabu, menurut laporan.

    Penduduk tempatan di perkampungan miskin di sekitar rizab di negeri Bihar berhenti keluar malam selepas serangan pertama harimau itu yang menyebabkan seorang remaja menjadi cacat pada Mei lalu.- AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda