BANDUNG, Indonesia, 27 Feb – Polis Indonesia berkata mereka telah menembak mati seorang militan yang disyaki di Bandung, bandar Jawa Barat hari ini selepas bom militan yang disyaki itu meletup di sebuah lot kosong dan dia melarikan diri ke bangunan perbandaran dan membakarnya.
Ketua polis kebangsaan Tito Karnavian berkata lelaki itu adalah anggota Jemaah Ansharut Daulah (JAD), yang dinamakan pertubuhan pengganas oleh AS pada Januari lalu.
Para anggota kumpulan militan telah berhubung dengan Bahrun Naim, seorang warga Indonesia yang berjuang bersama-sama kumpulan Islam IS di Syria yang telah memulakan beberapa serangan JAD di Indonesia.
Karnavian berkata penyerang mahu rakan-rakan militan Islam mereka yang sedang dipenjarakan di bebaskan.
“Apa yang kami ketahui ialah dia dari JAD, tetapi kami masih tidak pasti sama ada dia berhubung dengan Bahrun Naim,” kata Karnavian. “Jelas dia mahu rakan-rakannya dibebaskan.”
Jurucakap polis Jawa Barat Yusri Yunus berkara penyerang itu telah ditembak di bahagian perutnya dan menemui ajalnya dalam perjalanan ke hospital.
Tidak ada sesiapa yang tercedera selain dari militan yang disyaki dalam serangan itu, yang telah mencetuskan tindak balas besar-besaran pihak polis dan pertempuran senjata. Tayangan di televisyen memperlihatkan pihak polis menyerbu bangunan itu ketika asap hitam menjulang naik ke udara dari tingkat atas.
Yunus berkata seorang lagi mungkin terlibat dalam serangan itu kerana para saksi memberitahu polis mereka telah melihat dua lelaki bermotosikal tiba di lot itu tempat ledakan bom berlaku dan salah seorang dari mereka telah meninggalkan kawasan itu selepas letupan itu.
Bom dengan bahan letupan tahap rendah meletup kira-kira 50 meter dari bangunan perbandaran.
Yunus berkata lelaki itu telah memasuki bangunan itu bersenjatakan senapang dan membawa bahan letupan dalam beg galas. Apabila polis memintanya menyerah darah, dia bertindak balas dengan menghumbankan bahan letupan.
Semua pekerja di bangunan itu melarikan diri selepas penyerang itu memasukinya.
Tayangan di televisyen menunjukkan polis menggunakan tangga untuk membantu beberapa orang keluar menerusi tingkap bangunan itu. – AP