JAKARTA, 16 JULAI – Polis Indonesia menumpaskan sindiket pemerdagangan anak damit antarabangsa yang dipercayai beroperasi sejak 2023, dengan menyelamatkan enam anak damit dan menahan 12 suspek dalam satu operasi besar-besaran merentasi beberapa wilayah.
Menurut polis, lima anak damit ditemukan di Pontianak, Kalimantan Barat di pulau Borneo dan dibawa ke ibu pejabat polis Jawa Barat, manakala seorang lagi anak damit diselamatkan di kawasan Jakarta Raya.
Jurucakap polis Jawa Barat, Komisioner Hendra Rochmawan berkata para suspek memainkan pelbagai peranan dalam sindiket itu, termasuk merekrut anak damit yang masih dalam kandungan, menjaga mereka serta memalsukan dokumen seperti sijil kelahiran dan pasport.
“Kumpulan ini turut mengatur penghantaran anak damit berkenaan yang dipercayai untuk tujuan pengambilan anak angkat secara haram di Singapura,” katanya dalam kenyataan.
Polis turut merampas dokumen pengenalan diri palsu, pasport dan surat pemilikan semasa penahanan dibuat.
Pengarah Siasatan Jenayah Am Jawa Barat, Komisioner Surawan berkata, seorang daripada suspek memaklumkan bahawa lima daripada anak damit yang diselamatkan itu dijadual dihantar ke Singapura menggunakan dokumen palsu.
“Seorang lagi anak damit diselamatkan di Tangerang, wilayah Banten, empat hari lalu,” katanya, sambil menambah bahawa ibu kandung anak damit berkenaan dibayar antara kira-kira AS$740 hingga AS$1,070.
Siasatan yang bermula selepas seorang ibu membuat laporan berhubung kes penculikan anak damit telah membawa kepada penemuan rangkaian pemerdagangan lebih luas melibatkan anak damit yang dipercayai berasal dari pelbagai kawasan di Jawa Barat. – Bernama
