Wednesday, April 2, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Iran bubarkan penunjuk perasaan ‘Pro-Hijab’

    TEHRAN, 30 MAC – Polis Iran telah membubarkan demonstrasi duduk yang berlangsung selama beberapa minggu oleh penunjuk perasaan yang menyokong pemakaian tudung wajib untuk wanita, lapor media negara, selepas pihak berkuasa menganggap perhimpunan tersebut sebagai haram.

    Para penunjuk perasaan kebanyakannya wanita yang memakai jubah hitam sepenuhnya telah melakukan demonstrasi duduk sejak bulan lalu di luar bangunan parlimen di Tehran.

    Sejak revolusi Islam Iran pada tahun 1979, wanita diwajibkan untuk menutup rambut mereka di tempat awam. Walau bagaimanapun, semakin ramai wanita, terutamanya di bandar-bandar besar termasuk bandar Tehran, telah melanggar had dengan membiarkan tudung mereka tergelincir ke belakang.

    Para penunjuk perasaan menyeru supaya undang-undang yang mengenakan hukuman lebih berat ke atas wanita yang enggan memakai tudung, dikenali sebagai hijab, dilaksanakan.

    Parlimen meluluskan rang undang-undang tersebut pada September 2023. Ia mencetuskan perdebatan hangat di negara itu, namun tidak diserahkan kepada kerajaan untuk kelulusan akhir dan telah pun ditangguhkan.

    Bilangan wanita Iran yang melanggar undang-undang pemakaian tudung wajib semakin meningkat, pada 30 Mac 2025. – AFP

    “Selepas banyak rundingan dengan pihak berkuasa yang berkenaan dan penunjuk perasaan, mereka diminta untuk bersurai dan tidak menyebabkan gangguan, menyekat jalan, dan mencipta kesesakan lalu lintas bagi orang awam,” kata laman web Mizan Online dari badan kehakiman lewat kelmarin.

    “Sebilangan besar penunjuk perasaan mematuhi arahan polis dan meninggalkan kawasan tersebut tetapi malangnya sekumpulan kecil (kira-kira 30 individu) menentang,” tambah Mizan.

    Laman web itu menerbitkan video yang menunjukkan pertengkaran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan yang mengarahkan mereka untuk meninggalkan kawasan tersebut.

    Agensi berita rasmi IRNA mengatakan bahawa demonstrasi duduk ‘haram’ itu telah berlangsung selama kira-kira 48 hari.

    Secara rasmi dikenali sebagai “Undang-undang untuk Menyokong Keluarga melalui Promosi Budaya Kesucian dan Hijab”, rang undang-undang itu akan mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas wanita yang enggan memakai hijab yang wajib. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda