ROM, 9 APRIL – Polis kelmarin berkata ia telah membongkar sindiket penjual wang palsu di bandar selatan Itali, dan telah menahan kira-kira 60 orang yang didakwa terlibat dalam pengeluaran dan penjualan wang kertas kemudian diseludup ke Perancis, Sepanyol dan Greece.
Kumpulan mafia Naples, dikawal oleh kumpulan mafia Camorra, telah menghasilkan kira-kira enam juta euro (AS$6.5 juta) yang terdiri daripada wang kertas 20, 50 dan 100 euro, kata polis dalam satu kenyataan.
Kumpulan Mazzarella tersebut terkenal kerana penglibatannya dalam pemalsuan wang kertas di Naples, yang telah lama digelar sebagai penjual wang palsu terbesar.
Menurut polis, kumpulan itu menjalankan operasinya mengikut waktu pejabat standard, dibuka untuk perniagaan dari 9 pagi hingga 5 petang dalam seminggu, dan hingga 1 tengah hari pada hari Ahad.
Wang kertas itu dinilai mengikut kualiti, termasuk tekstur dan warna, kata polis.
Bagi wang 50 euro ia telah diberi gelaran ‘Maradonas,’ sempena penyerang Argentina yang terkenal di bandar itu dan ikon pemenang Serie A, Diego Maradona, atau ‘Peles’ sempena mendiang bintang Brazil.
Mereka yang telah berjaya ditumpaskan itu termasuk tujuh orang yang ditahan di lokasi di pangsapuri Naples yang digunakan sebagai studio pengeluaran dan kedai, di samping tiga orang pembeli Perancis yang baru sahaja membeli wang palsu dan sedang bersiap sedia untuk kembali ke Perancis, menurut kenyataan itu. – AFP


