TOKYO, 5 FEB – Polis Jepun berkata mereka telah menahan tujuh orang disyaki menjalankan perniagaan seks haram yang dilaporkan menyasarkan pelancong di daerah pelacuran yang sibuk di Tokyo.
Kira-kira 36.8 juta pelancong asing direkodkan datang ke Jepun tahun lepas.
Bagaimanapun, beberapa kumpulan pergerakan telah menimbulkan kebimbangan bahawa kemasukan pelancong mungkin juga merangsang industri seks.
Jurucakap polis Tokyo berkata kepada AFP hari ini bahawa tujuh orang, termasuk seorang warga Brazil, telah ditangkap kerana menjalankan perniagaan pelacuran dengan menyamar sebagai rumah urut untuk lelaki di daerah Kabukicho tengah.
Seorang daripada mereka yang ditahan, lelaki warga Jepun berusia 54 tahun bernama Kazuki Sudo, dipercayai mengetuai sindiket pelacuran yang berlangsung dari Oktober dan November tahun lalu, kata jurucakap itu.
Mereka dituduh membangunkan laman web berbahasa Inggeris kerana 60 hingga 70 peratus pelanggan mereka adalah dari luar negara, termasuk dari negara Asia dan Amerika Utara, lapor harian Mainichi Jepun.
Akhbar itu berkata perniagaan itu menggaji orang asing dan pembayaran diterima dalam mata wang berbeza. – AFP