Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Jerman buru dua pengganas RAF yang hilang 30 tahun lalu

    BERLIN, 3 MAC – Polis Jerman telah menahan beberapa orang hari ini di Berlin semasa memburu dua anggota pengganas ekstremis sayap kiri, Baader-Meinhof, yang telah melarikan diri selama lebih 30 tahun.

    Polis telah mencari Ernst-Volker Staub, 69, dan Burkhard Garweg, 55, daripada kumpulan anti-kapitalis radikal yang juga dikenali sebagai Puak Tentera Merah (RAF).

    Pencarian kedua-dua lelaki itu semakin giat pada hari-hari terakhir, selepas penahanan Daniela Klette, 65, pada Isnin, anggota ketiga trio yang telah lama dicari dari RAF yang melakukan beberapa pengeboman, penculikan dan pembunuhan yang menyebabkan Jerman trauma pada 1970an dan 1980an.

    Polis pada mulanya mengumumkan penahanan dua lelaki hari ini tetapi kemudian berkata tangkapan lanjut telah dibuat.

    Bagaimanapun, pemeriksaan identiti seterusnya mengesahkan ‘mereka bukanlah orang yang dicari,’ kata jurucakap polis, sambil menambah bahawa mereka yang ditangkap telah dibebaskan.

    Sejak RAF dibubarkan pada 1998, Klette dan dua pelarian itu dipercayai telah membiayai kehidupan mereka dalam pelarian melalui rompakan pengangkut wang dan rompakan wang tunai pasar raya.

    Klette, satu-satunya wanita yang dianggap sebagai ‘berbahaya’ dalam senarai paling dikehendaki Europol, telah ditangkap pada Isnin di Berlin kerana disyaki cubaan membunuh dan pelbagai rompakan serius antara 1999 dan 2016. – AFP

    Pegawai polis menahan seorang lelaki (dua kanan) di Berlin pada 3 Februari di Berlin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda