BERLIN, 30 Dis – Polis Jerman berkata hari ini mereka telah merampas 850kg mercun dan bunga api daripada seorang lelaki berusia 23 tahun di Hamburg, menjelang perayaan Tahun Baharu.
Polis telah mendapat maklumat daripada jiran lelaki berkenaan yang mengatakan lelaki terbabit telah menyimpan kuantiti besar mercun.
Para pegawai yang menyerbu ke rumah lelaki tersebut telah menemui mercun dibungkus dalam apartmennya, di bilik bawah tanah dan dua van, kata jurucakap polis wanita memberitahu agensi berita kebangsaan DPA.
Alat untuk membuat bunga api itu mengandungi kira-kira 80kg bahan letupan – 80 kali ganda lebih banyak daripada had bunga api yang dibenarkan disimpan di sebuah rumah persendirian.
Bunga api dan roket-roket itu menjadi bahagian penting dalam perayaan Tahun Baharu di Jerman, dengan orang yang meraikannya membakar mercun dari balkoni atau halaman mereka.
Ia dijual tiga hari terakhir sebelum menjelang tahun baharu dengan orang ramai di Jerman berbelanja 137 juta euro (AS$156 juta) ke atas mercun tahun lalu.
Namun 1 Januari juga menandakan banyaknya laporan-laporan mengenai kecederaan individu malah terbunuh akibat bunga api.
Pada Tahun Baharu 2018, kemalangan bunga api telah mengorbankan dua orang, seorang kanak-kanak cedera dan lima orang terpaksa dipotong anggota mereka.
Musim ini, beberapa kecederaan sudah pun dilaporkan malah sebelum tiba Tahun Baharu, dengan dua orang termasuk remaja berusia 14 tahun hilang jari akibat letupan mercun, sementara individu 18 tahun dimasukkan ke hospital akibat cedera parah. – AFP