SURREY, 11 APRIL- Menurut kenyataan daripada pihak polis kelmarin, tiga makmal dadah di wilayah pantai Pasifik Kanada, British Columbia, telah dimusnahkan dan dua daripada makmal itu dipercayai digunakan untuk menghasilkan fentanyl, manakala tujuan makmal ketiga masih “belum dikenal pasti.”
Pasukan Polis Diraja Kanada (RCMP) turut menahan dua suspek, termasuk seorang yang digambarkan sebagai ‘ahli kimia’, namun tiada pertuduhan yang dikenakan setakat ini kerana siasatan masih dijalankan.
Menurut Polis Diraja Kanada (RCMP), beberapa serbuan telah dijalankan pada akhir Mac lalu, membawa kepada penemuan tiga makmal dadah yang dilengkapi dengan peralatan canggih, setanding dengan kemudahan penyelidikan akademik dan profesional.
Ketua Supt Stephen Lee, Timbalan Komander Wilayah bagi Program Kepolisan Persekutuan RCMP, menyifatkan penggunaan peralatan kimia bertaraf komersial itu sebagai satu ‘trend membimbangkan’ yang menunjukkan peningkatan tahap kepakaran saintifik dalam operasi makmal dadah oleh kumpulan jenayah terancang antarabangsa.
Penolong Pesuruhjaya , David Teboul pula berkata dadah yang dihasilkan di makmal itu bukan untuk pasaran Amerika Syarikat, namun beliau tidak dapat mengongsikan polis tidak dapat mendedahkan perkara itu kerana siasatan masih berjalan.
RCMP memaklumkan siasatan mereka terhadap aktiviti pengimportan bahan kimia dan peralatan makmal komersial untuk menghasilkan dadah seperti fentanyl, MDMA dan GHB bermula sejak musim panas 2023. – AP
