Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Kelantan guna sistem e-wanted untuk kesan penjenayah

    KOTA BHARU, 16 Mei – Polis Kelantan akan menggunakan Sistem E-Wanted dalam menjejaki individu atau mereka yang mempunyai rekod lampau di bawah Akta 7 Undang-Undang Am Pendaftaran Penjenayah dan Orang-Orang Yang Dikehendaki 1969 tidak lama lagi.

    Penyelaras Kreatif Inovasi Kelantan (KIK) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, DSP Rosli Kadir berkata tujuan sistem baharu itu adalah bagi menggantikan sistem lama yang kurang efisien dalam tugasan pendaftaran rekod berkaitan penjenayah.

    “Sistem lama yang menggunakan buku log dan senarai penjenayah dalam komputer jabatan mendapat kritikan dan menyukarkan tugas mengesan penjenayah serta mengambil masa yang lama.

    “Penggunaan sistem baharu ini amat ringkas iaitu menggunakan peralatan mudah alih seperti telefon bimbit, sekali gus menjadikan tugas cepat dan tepat,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini. Rosli berkata di peringkat permulaan, sistem itu hanya melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan IPK sebelum diperluaskan ke semua IPD di negeri ini.

    Beliau berkata pihaknya akan mengadakan latihan dan seminar berkaitan penggunaan sistem berkenaan kepada anggota polis di peringkat daerah bagi memastikan penggunaannya lancar.

    “Diharap dengan sistem ini tugasan akan lebih lancar dan menjimatkan masa petugas dan orang awam, ” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda