BENTONG, 6 FEB – Polis telah mengenal pasti identiti mangsa yang maut dalam kejadian sebuah helikopter jenis Bell 206L4 terbakar ketika mengisi minyak, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar berkata mangsa merupakan seorang jurutera warga Indonesia (petugas di lapangan) dikenali sebagai Finsen Resky Sembiring, 27. “Mangsa yang berada di tapak pendaratan helikopter semasa kejadian dipercayai maut akibat libasan bilah kipas helikopter selepas ia gagal dikawal ketika membuat hovering setinggi kira-kira tiga kaki semasa ingin mengisi minyak.
“Hal itu menyebabkan skid (kaki) pesawat itu bergesel dengan tempat pendaratan, lalu terbalik dan berlaku kebakaran. Bagaimanapun seorang lagi mangsa iaitu juruterbang warga Indonesia dikenali sebagai Kustiyadi, 44, hanya mengalami cedera ringan,” katanya kepada media di lokasi kejadian, hari ini.
Zaiham berkata helikopter itu datang dari sebuah lokasi tapak projek kira-kira 16 kilometer dari kawasan kejadian.
Beliau berkata syarikat berkenaan sedang melakukan kerja-kerja bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak enam hari lepas dan mempunyai kebenaran untuk menggunakan kawasan di tapak perkhemahan di lokasi kejadian sebagai tempat mengisi minyak.
Menceritakan lanjut kejadian itu, Zaiham berkata tindakan berani seorang pengawal keselamatan warga tempatan berusia 38 tahun, yang menarik juruterbang helikopter itu keluar dari dalam pesawat ringan tersebut ketika ia sedang terbakar telah menyelamatkan nyawa warga Indonesia berkenaan.
Bernama difahamkan pengawal keselamatan itu berlari ke lokasi nahas helikopter kira-kira 100 meter dari balai pengawal di tapak perkhemahan terbabit sebaik menyedari kejadian tersebut.
“Setakat ini ada dua saksi yang melihat kejadian ini termasuk pengawal keselamatan yang menyelamatkan juruterbang sebagai saksi utama,” katanya. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P11-1A_07022025.jpg)