Tuesday, January 7, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Korea S lanjut tarikh akhir penahanan Presiden Yoon

    SEOUL, 6 JAN – Penyiasat Korea Selatan yang cuba menangkap Presiden yang digantung tugas, Yoon Suk Yeol, telah memohon lanjutan waran yang akan tamat tempoh hari ini, dengan pemimpin yang tertekan itu terus bersembunyi di kediamannya.

    Bekas pendakwa terkenal itu dengan tegas telah menolak sesi soal siasat sebanyak tiga kali, sebelum cubaan penangkapan yang gagal menyaksikan ratusan pengawal keselamatan melindunginya daripada penyiasat yang cuba menahannya berhubung dekri undang-undang tentera yang gagal dilaksanakan bulan lalu.

    Penyiasat dari Pejabat Penyiasatan Rasuah (CIO) Isnin lalu menyatakan bahawa mereka akan meminta lanjutan waran yang dijangka tamat pada penghujung hari ini.

    “Kesahan waran itu tamat hari ini. Kami bercadang untuk memohon lanjutan daripada mahkamah hari ini,” kata Lee Jae-seung, timbalan pengarah Pejabat Penyiasatan Rasuah (CIO), dalam satu taklimat kepada pemberita.

    Beliau menambah bahawa pihaknya telah meminta bantuan polis untuk menahan Yoon kerana kesukaran yang dihadapi oleh penyiasat dan akan berunding dengan mereka mengenai masa untuk melanjutkan waran tersebut. Namun, pihak polis masih belum menerima permintaan itu.

    Minggu lalu, kebuntuan yang tegang selama beberapa jam bersama ratusan pasukan keselamatan memaksa penyiasat berundur atas kebimbangan keselamatan.

    Yoon berdepan hukuman penjara atau paling buruk, hukuman mati jika ditangkap selepas menggantung pemerintahan awam buat seketika dan menyebabkan Korea Selatan terjebak dalam krisis politik terburuknya dalam beberapa dekad. Namun begitu, beliau dan penyokongnya tetap berpegang teguh pada pendirian mereka.

    “Perkhidmatan Keselamatan Presiden akan melindungi Presiden, dan kami akan melindungi Perkhidmatan Keselamatan Presiden sehingga tengah malam,” kata Kim Soo-yong, 62, salah seorang penganjur protes. – AFP

    Orang ramai melalui sepanduk menuntut penahanan Presiden Yoon yang didakwa berhampiran kediaman presiden di Seoul, Korea Selatan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda