Polis Laos rampas 55 juta pil methamphetamine, terbesar di Asia

BANGKOK, 28 OKT – Polis Laos merampas 55 juta pil methamphetamine dari sebuah trak bir, satu rampasan terbesar di Asia, pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan hari ini.

Negara Asia Tenggara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, merupakan laluan bagi penyeludup dadah yang memindahkan penghantaran keluar dari negeri bergolak Shan di Myanmar ke dalam Thailand dan sekitarnya.

Kelmarin, polis menghentikan trak membawa tong bir ke dalam Laos di wilayah utara Bokeo, yang bersempadan dengan Thailand dan Myanmar.

“Sejumlah 55.6 juta pil meth dan 1,537kg meth kristal dilaporkan dirampas oleh Laos lewat kelmarin, merupakan satu rekod dalam satu rampasan di rantau itu,” kata perwakilan Pejabat Dadah dan Jenayah Serantau PBB, Jeremy Douglas memberitahu AFP.

“Ia merupakan tiga kali ganda jumlah pil meth yang dirampas Laos sepanjang tahun lalu dan hampir satu pertiga meth kristal,” tambahnya.

Media tempatan mengatakan pihak berkuasa menyiasat pemandu trak – yang mengangkut tong-tong bir Beerlao – membawanya ke sebuah rumah berhampiran di mana dua lelaki ditahan.

Pembuat bir, Lao Brewery mengeluarkan kenyataan menafikan sebarang pembabitan dalam kes penyeludupan dadah itu dan menegaskan ia mempunyai dasar antidadah ketat. – AFP