Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis lepaskan gas pemedih mata hentikan protes

    JAKARTA, 29 OGOS – Polis Indonesia melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan ratusan penunjuk perasaan di ibu negara hari ini, susulan kematian seorang pemandu teksi motosikal yang dilanggar kenderaan tentera, sehari selepas Presiden Prabowo Subianto berjanji menyiasat insiden berkenaan.

    Keganasan jalanan tercetus kelmarin apabila penunjuk perasaan menuntut kenaikan gaji serta mempersoalkan elaun mewah ahli parlimen, sekali gus menimbulkan kekecewaan awam terhadap pengurusan ekonomi negara.

    Kemarahan memuncak selepas rakaman video tular di media sosial menunjukkan sebuah kenderaan tentera hitam merempuh seorang lelaki sehingga membunuh pemandu motosikal, Affan Kurniawan.

    Presiden Prabowo dalam kenyataan menzahirkan ‘ucapan takziah dan simpati mendalam’ kepada keluarga mangsa, serta mengarahkan siasatan telus dijalankan.

    “Saya telah mengarahkan supaya insiden malam tadi disiasat secara menyeluruh dan telus dan pegawai terlibat mesti dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

    Penduduk Indonesia bertindak balas ketika polis melepaskan gas pemedih mata semasa protes berikutan kematian seorang pemandu gojek, di Jakarta, kelmarin. – AP

    Beliau memberi jaminan kerajaan akan mengambil tindakan tegas sekiranya anggota terbabit didapati melanggar tatacara serta peraturan sedia ada.

    Petang tadi, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di ibu pejabat unit polis paramilitari di Jakarta bagi mengecam kematian Affan, sebelum polis bertindak melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan me-reka, lapor wartawan AFP.

    Protes juga telah tersebar ke bandar utama lain di Indonesia, termasuk Surabaya di Jawa Timur dan Medan di wilayah Sumatera Utara.

    Pada Khamis, ratusan orang turut berhimpun berhampiran Parlimen Indonesia, membantah isu termasuk gaji tinggi ahli parlimen yang didakwa tidak setara dengan kehidupan rakyat. Elaun perumahan mereka berjumlah 50 juta rupiah (AS$3,034) sebulan, hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta.

    Kumpulan buruh juga sebelum ini mengadakan protes menuntut gaji lebih baik serta mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap gelombang pemberhentian pekerja secara besar-besaran. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda