Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis lumpuh 40 sindiket penipuan dalam talian

    KUALA LUMPUR, 17 DIS – Polis melumpuhkan kira-kira 40 sindiket penipuan dalam talian menerusi operasi khas selama 12 hari bermula 25 November hingga 6 Disember lepas dengan 63 serbuan dijalankan di pusat panggilan jenayah di seluruh Malaysia.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata dalam serbuan itu seramai 426 individu ditahan membabitkan 331 lelaki dan 95 wanita berusia antara 16 hingga 55 tahun.

    Daripada jumlah itu, seramai 146 terdiri rakyat Malaysia manakala bakinya ialah warga asing iaitu 224 warga China, Thailand (21), Indonesia (18) Nigeria (lima), Pakistan (tiga) Zimbabwe dan Ukraine masing-masing dua serta seorang dari Kenya, Tajikistan, Taiwan, Guinea dan Syria.

    “Hasil siasatan mendedahkan, kesemua individu yang ditahan ini adalah daripada 40 kumpulan sindiket yang menjalankan aktiviti penipuan,” katanya pada sidang media di pejabat JSJK Bukit Aman di Menara KPJ, hari ini.

    Ramli berkata 40 sindiket itu membabitkan 12 sindiket judi dalam talian, pelaburan tidak wujud dan tipu pelaburan kerja (sembilan), sindiket e-dagang (lima), sindiket Love Scam (tiga) manakala masing-masing satu melibatkan penipuan derma dan promosi video lucah.

    Gambar Freepik

    Mengulas lanjut, Ramli berkata siasatan mendapati pusat panggilan itu bukan sahaja menyasarkan mangsa tempatan tetapi turut menjangkau luar negara seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, India, Hong Kong, Taiwan, Trinidad dan Tobago, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

    “Individu yang ditahan mempunyai peranan yang berbeza termasuklah sebagai pengurus, penyelia, pegawai khidmat pelanggan, pegawai pengiklanan, pegawai kewangan dan pengatur cara komputer,” katanya.

    Ramli berkata dalam operasi itu polis turut merampas sebanyak 1,240 telefon bimbit; 187 set komputer; 302 komputer riba; 41 router; 44 modem; 52 monitor, 41 kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM); 21 kad akses; 185 keping simkad; dua utas gelang tangan, enam buah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM79,451.

    “Turut dirampas sembilan unit cop, dua keping sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pelbagai barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah yang dijalankan. Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM1.48 juta,” katanya.

    Polis juga mengenal pasti 35 premis kediaman seperti rumah teres, kondominium dan pangsapuri yang dijadikan pusat panggilan bagi aktiviti haram itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda