Thursday, May 1, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis mati dilanggar pemandu di bawah pengaruh dadah

    BRITAIN, 30 APRIL – Seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah ketika melanggar dan membunuh seorang anggota polis negeri Connecticut di lebuh raya tahun lalu telah dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun, kelmarin.

    Satu hukuman yang dianggap tidak mencukupi oleh balu anggota polis itu.

    Alex Oyola-Sanchez, 45, dari Hartford, memohon maaf dan meminta keampunan daripada keluarga Trooper Kelas Pertama, Aaron Pelletier semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi New Britain. Mahkamah dipenuhi dengan anggota polis dan ahli keluarga serta rakan-rakan Pelletier.

    Balu Pelletier, Dominique Pelletier, telah meminta hukuman penjara selama 30 tahun. Dua anak mereka masing-masing berusia 3 dan 5 tahun ketika bapa mereka terbunuh.

    Hukuman penjara 18 tahun itu telah dipersetujui oleh pihak pembelaan dan pendakwaan apabila Oyola-Sanchez mengaku bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat pada Februari.

    Pelletier, seorang anggota polis negeri yang telah bekerja selama sembilan tahun, sedang bertugas semasa operasi penguatkuasaan lalu lintas pada 30 Mei 2024, apabila beliau menahan seorang pemandu kerana tidak memakai tali pinggang keledar di Interstate 84 di Southington.

    Ketika beliau sedang bercakap dengan pemandu tersebut, sebuah trak pikap memasuki bahu kanan jalan dan melanggar Pelletier dan kenderaan peronda beliau, serta kenderaan yang ditahan, sebelum pemandu itu melarikan diri. – AP

    Christopher Eddy (kanan), mewakili anak guamnya, Alex Oyola-Sanchez, semasa prosiding hukuman di Mahkamah Tinggi Negeri di New Britain, Connecticut, pada 29 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda