KAHERAH, 20 OGOS – Polis Mesir menembak mati lapan penyeludup dadah dalam kejadian berbalas tembakan di lokasi persembunyian mereka di pulau-pulau Sungai Nil, utara Kaherah, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, kelmarin.
Kesemua lelaki tersebut mempunyai rekod jenayah termasuk kes bunuh, penyeludupan dadah, pemilikan senjata api haram, rompakan bersenjata serta kecurian kenderaan, lapor kementerian berkenaan.
Mereka menjalankan kegiatan dari pulau-pulau Sungai Nil berhampiran wilayah Menoufia dan Qalyubia menggunakan bot untuk memudahkan pergerakan mereka dan mengeksploitasi kawasan itu untuk melarikan diri daripada dikesan pihak keselamatan.
Pasukan keselamatan memantau dan menjejaki kegiatan kumpulan itu sebelum melancarkan serbuan.
“Penjenayah melepaskan tembakan secara agresif, namun polis berjaya menumpaskan mereka,” menurut kenyataan itu.
Polis turut merampas 125 kilogram dadah dianggarkan bernilai 16 juta paun Mesir (sekitar AS$330,000) bersama lapan laras senjata api, menurut kementerian. – Xinhua


