KUCHING, 20 MAC – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang dipercayai cuba menyeludup minyak diesel dalam Op Taring Landai di Jalan Melor, Bekenu, Miri.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata lelaki itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Miri kira-kira 6:45 petang semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan jenis Toyota Hilux Single Cab berwarna putih yang dipandunya membawa muatan minyak diesel yang disyaki diseleweng.
“Pemandu terbabit juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Miri bagi pemilikan bahan bakar itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Alexson berkata polis merampas kenderaan dan minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM94,500 itu dan diserahkan kepada pihak KPDN Miri untuk tindakan lanjut di bawah Akta Bekalan 1961. – Bernama
