TRIPOLI, 28 APRIL – Ratusan penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi di bandar Tripoli semalam kerana tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi yang makin merosot, sehingga mencetuskan pertempuran dengan pasukan keselamatan ketika penularan wabak COVID-19.
Lelaki, wanita dan kanak-kanak turun ke jalanan dengan melaungkan ‘revolusi, revolusi’ menuju ke Bangunan Parlimen, bagaimanapun mereka berjaya dihalang oleh tentera sehingga mencetuskan ‘pertempuran’.
Beberapa penunjuk perasaan melemparkan batu, bagaimanapun tentera melepaskan tembakan ke udara untuk menenangkan keadaan di kawasan Al-Nour Square.
Sementara itu, Agensi Berita Nasional melaporkan bahagian hadapan bank dirosakkan dan menurut tentera, terdapat beberapa bank dibakar manakala bom molotov dilempar ke arah kenderaan tentera.
Dalam satu kenyataan selepas tengah malam, tentera meminta supaya ‘penunjuk perasaan bersurai’ dan mengosongkan jalan. Menurut pasukan Palang Merah, pihaknya membawa tiga orang ke hospital dan merawat yang lain di tempat kejadian.
Lubnan menghadapi krisis ekonomi paling teruk sejak perang saudara 1975-1990, yang kini diburukkan lagi oleh perintah berkurung di seluruh negara dalam usaha membendung penyebaran pandemik COVID-19.
Mata wang negara itu pula susut lebih daripada separuh nilainya. – AFP
