PARIS, 14 DIS – Bimbang kemungkinan rusuhan selepas perlawanan separuh akhir Piala Dunia antara Perancis dan Maghribi di Qatar pada awal pagi Khamis, Perancis merancang menggerakkan 10,000 pegawai polis termasuk 5,000 khusus ditempatkan di Paris dan di kawasan sekitarnya, lapor agensi Anadolu.
Di Paris, polis akan ditempatkan di sekitar boulevard Champs-Elysees seperti yang diumumkan Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin.
Paris sebelum ini menyaksikan insiden ganas pada 10 Disember selepas kemenangan Maghribi dan Perancis di peringkat suku akhir.
Champs-Elysees bagaimanapun tidak ditutup pada Rabu. Kebanyakan jalan masuk ke Paris akan ditutup mulai 6:30 petang termasuk beberapa stesen metro dan RER.
Ancaman lain adalah daripada samseng berhaluan kanan yang radikal seperti dilaporkan stesen radio, Europe 1.
Menurut Europe 1, di bandar Strasbourg, beberapa do-zen ahli ‘Pesalah Strasbourg,’ kumpulan samseng yang terdiri daripada neo-Nazi, Identitarian dan ultra-nasionalis, dikatakan telah merancang untuk berkumpul di jalan-jalan di pusat bandar selepas perlawanan itu. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/12/page-24-3a-Bernama-SEPARUH-AKHIR-PIALA-DUNIA-POLIS_15122022.jpg)