MARSEILLE, 19 SEPT – Polis Perancis kelmarin telah menembak mati seorang lelaki bersenjatakan parang berhampiran sebuah sekolah di bandar La Seyne-sur-Mer, tenggara negara itu, menurut pihak pendakwa raya.
Individu yang dianggap ‘mengancam’ itu enggan mematuhi arahan polis dan bergerak ke arah pegawai, yang pada mulanya menggunakan senjata kejutan elektrik sebelum melepaskan enam das tembakan, kata pendakwa raya, Samuel Finielz.
Beliau berkata tembakan itu disasarkan ke bahagian bawah badan lelaki tersebut, namun dia meninggal dunia akibat kecederaan di lokasi kejadian.
Insiden berlaku kira-kira jam 5 petang berhampiran sebuah sekolah tadika, menurut sumber polis.
“Terdapat kemungkinan kanak-kanak diancam,” kata Finielz, sambil menambah tiada sesiapa yang tercedera.
Pegawai yang tiba di lokasi melihat lelaki itu membawa senjata dipercayai parang ‘dengan bilah sepanjang beberapa puluh sentimeter,’ katanya.
Mereka mengarahkan suspek ‘meletakkan senjatanya di tanah, namun dia enggan berbuat demikian,’ tambahnya.
Kejadian itu berlaku ketika ratusan ribu orang di seluruh Perancis turun ke jalan bagi menyuarakan kemarahan terhadap dasar penjimatan kerajaan.
Pihak berkuasa Perancis kini berada di bawah tekanan untuk membanteras jenayah berhampiran sekolah selepas beberapa siri serangan pisau ke atas guru dan pelajar dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – AFP


