LUMUT, 6 FEB – Polis percaya baki 75 pendatang tanpa izin yang melarikan diri dari Depot Sementara Imigresen Bidor pada 1 Februari lepas masih bersembunyi di kawasan sekitar Tapah dan Bidor.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata ia berdasarkan maklumat daripada soal siasat dijalankan terhadap pendatang tanpa izin yang diberkas dalam Op Kesan yang memasuki hari kelima kelmarin.
“Kita akan terus tumpukan pencarian di Tapah dan Bidor terutama di kawasan terpencil seperti kampung dan hutan-hutan kecil berhampiran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2024 Peringkat PDRM Kontinjen Perak di Plaza Tol Lekir kelmarin.
Beliau berkata sekatan jalan raya (SJR) akan terus dilaksanakan di tujuh lokasi meliputi daerah Tapah, Kampar, Muallim serta Hilir Perak, dan operasi pencarian turut disertai Unit Pasukan Gerakan Udara (PGU) polis menerusi penggunaan dron dan sebagainya.
Pada 1 Februari lepas 131 pendatang tanpa izin terdiri dari etnik Rohingya, warga Myanmar dan Bangladesh melarikan dari Depot Imigresen Sementara Bidor dalam kejadian pada 9:50 malam.
Daripada jumlah itu sehingga pagi ini, 54 pendatang telah berjaya diberkas manakala dua dilaporkan maut akibat kemalangan jalan raya. – Bernama