WELLINGTON, 12 DIS – Polis New Zealand akan mengeluarkan mayat dari White Island pada esok pagi, lapor agensi berita China Xinhua memetik pengumuman Komander Operasi Kebangsaan Timbalan Pesuruhjaya John Tims petang tadi. Tims berkata Polis New Zealand telah menyediakan sebuah pelan untuk mengeluarkan mayat dari White Island pada esok pagi dan keluarga mangsa diberikan taklimat mengenai operasi itu pada petang tadi.
Saintis GNS Graham Leonard berkata pulau itu berada dalam keadaan amat tidak stabil ketika ini.
Pakar gunung berapi GeoNet menyediakan pengiraan terkini pada petang tadi mengenai kemungkinan berlaku satu lagi letusan di White Island. Pengiraan baharu mereka adalah terdapat kemungkinan 50 ke 60 peratus letusan yang berlaku boleh memberi kesan di luar kawasan bolong yang ditandakan dalam tempoh 24 jam akan datang.
Keluarga dan rakan mangsa yang hilang di pulau itu menanti dengan cemas untuk operasi mengeluarkan mayat tersebut. Bagaimanapun, ia dianggap terlalu berbahaya. Menteri Polis Stuart Nash berkata beliau memahami kekecewaan keluarga yang ingin mendapatkan kembali jasad orang tersayang mereka dari White Island. – Bernama