Wednesday, January 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Portugis bongkar makmal kokain utama, 7 ditahan

    LISBON, 6 DIS – Polis Portugal kelmarin mengumumkan kejayaan mereka membongkar salah satu makmal kokain terbesar di Eropah melalui satu operasi yang membawa kepada penangkapan tujuh individu dan rampasan kira-kira 1,500 kilogram dadah tersebut.

    Menurut kenyataan pihak polis, siasatan mendapati kumpulan penjenayah yang sangat terancang bertanggungjawab menyeludup jumlah besar narkotik ke benua tersebut.

    Siasatan itu dilancarkan setahun lalu berdasarkan maklumat daripada pihak berkuasa Colombia, Sepanyol, dan Amerika Syarikat, yang membawa kepada penahanan empat warga Portugal, dua warga Colombia, dan seorang warga Maghribi, berusia antara 29 hingga 56 tahun.

    Polis turut merampas tiga pucuk senjata api, sejumlah besar wang tunai dan beberapa kenderaan, menurut kenyataan tersebut.

    Sepanjang tahun lalu, “lima makmal penyeludupan dadah telah berjaya dibongkar di pelbagai lokasi di negara ini,” kata Artur Vaz, Pengarah Polis Kehakiman Portugal, yang bertanggungjawab menyiasat jenayah serius termasuk narkotik.

    Pada bulan Mei lalu, pasukan itu merampas hampir satu tan kokain yang disembunyikan dalam kontena membawa pisang dari Colombia, yang masuk ke negara tersebut melalui pelabuhan Setubal, di selatan ibu kota Lisbon.

    Penemuan tersebut membawa kepada pengenalpastian beberapa suspek serta pelaksanaan waran tangkap dan serbuan.

    Dalam salah satu serbuan, penyiasat menahan tiga lelaki yang bekerja di sebuah makmal industri kira-kira 60 kilometer di utara Lisbon. Di lokasi tersebut, mereka turut menemui kira-kira 460 kilogram kokain. – AFP

    Gambar hiasan. – Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda