Polis rampas 28 tan marijuana

SAO PAULO, 21 MEI – Polis Brazil berkata hari ini hampir 28 tan marijuana yang disembunyikan dalam jagung telah dirampas dalam ‘rampasan dadah terbesar’ dalam negara.

Polis persekutuan Brazil berkata beberapa bungkusan dadah diletak di bawah jagung yang dibawa dalam sebuah trak yang ditahan oleh pegawai di sebatang lebuh raya di barat daya negeri Mato Grosso do Sul semalam.

Polis berkata mereka mula mengawasi trak itu selepas timbulnya kesangsian mengenai pemandunya di sebuah hotel di bandar Ponta Pora di sempadan Brazil dengan Paraguay.

Polis berkata pemandu mendakwa trak telah pun dipenuhi muatan jagung apabila dia mengambilnya dan bertujuan membawanya ke selatan negeri Brazil Rio Grande do Sul. Pemandu ditahan dan berdepan dakwaan menyeludup dadah. – AP