Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Sejumlah 320 karton rokok ditemui semasa rondaan yang dijalankan oleh keanggotaan Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL) di kawasan Kampung Setia berdekatan Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, di sini, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei, barang tegahan berkenaan ditemui ketika pasukan peronda terserempak dengan seorang lelaki yang mencurigakan sedang menolak kereta sorong kayu buatan sendiri.
Sejurus dihampiri, lelaki berkenaan segera melarikan diri dan meninggalkan kereta sorong itu.
Pemeriksaan segera dijalankan dan mendapati sejumlah empat kotak bungkusan besar yang dipenuhi dengan rokok.
Pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) segera dihubungi bagi peralihan siasatan dan tindakan lanjut.
Kenyataan menegaskan, PPDB sentiasa berusaha dan tidak akan kendur-kendur dalam melaksanakan tanggungjawab yang dipikul serta menjalankan undang-undang yang diamanahkan oleh negara bagi memastikan sebarang gejala-gejala yang negatif dan berunsurkan jenayah akan diambil tindakan dan menerima hukuman sewajarnya.
