Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis rampas 365kg syabu, tahan seorang lelaki

    KANGAR, 2 JUN – Polis Perlis merampas 365 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM13.14 juta, susulan penahanan seorang lelaki berusia 40 tahun di Kampung Belat Batu, Beseri dekat Padang Besar semalam.

    Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata rampasan dan tangkapan itu dibuat pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, pada 3:30 pagi atas maklumat diterima.

    Beliau berkata suspek dilihat keluar daripada kereta Proton Waja dan menuju ke Toyota Vios sebelum ditangkap.

    “Hasil pemeriksaan dalam Toyota Vios membawa kepada penemuan 17 guni berjahit mengandungi dadah disyaki syabu dipercayai dibawa dari Thailand,” katanya pada sidang media di IPK Perlis di sini hari ini.

    Muhammad berkata siasatan awal mendapati suspek menggunakan kawasan hutan di Padang Besar sebagai transit sebelum dadah yang boleh digunakan 3.6 juta penagih itu, dihantar ke selatan tanah air.

    Beliau berkata lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang melarikan diri bagi membantu siasatan.

    Sementara itu, Muhammad berkata seorang lelaki warga Thailand berusia 30 tahun ditahan bersama dua bungkusan ketulan ganja mampat seberat dua kilogram, disembunyikan dalam tong sampah di kawasan Taman Singgah Sana, Padang Besar pada 2:15 pagi semalam.

    “Dadah itu dianggarkan bernilai RM6,200 dan boleh digunakan kira-kira 20,000 penagih,” katanya. Beliau berkata suspek dua kes tersebut didapati positif methamphetamine dan direman tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

    Datuk Muhammad Abdul Halim bercakap semasa sidang media rampasan dadah jenis syabu sebanyak bernilai RM13.14 juta dan ganja bernilai RM6,200 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda