Tuesday, February 11, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis rampas dadah bernilai lebih RM12 juta, dua sindiket edar dadah tumpas

    KUALA LUMPUR, 10 FEB – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dalam dua operasi berasingan di sekitar Selangor dan ibu negara pada 4 dan 9 Februari lepas, melibatkan nilai rampasan RM12.88 juta.

    Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata dalam operasi pertama pada 4 Februari, polis berjaya menumpaskan satu sindiket pemprosesan dadah jenis serbuk jus methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), hasil beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang.

    “Hasil risikan dan intipan yang dijalankan, polis berjaya menahan ketua sindiket itu di sebuah tempat letak kereta di Taman Suntex Cheras sebelum suspek membawa polis ke sebuah kondominium mewah di Cheras yang menjadi tempat penyimpanan pelbagai jenis dadah.

    “Tiga lagi lelaki serta seorang wanita ditahan dalam serbuan di kondominium itu dan polis turut merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM1.45 juta, antaranya heroin base seberat 9.8 kilogram (kg), syabu (1.17 kg), heroin (233.45 gram), serbuk MDMA (131.83 gram) dan pil yaba (113.17 gram).

    “Dadah yang dirampas itu dianggar boleh digunakan untuk 72,752 penagih. Selain itu polis turut menyita dua kenderaan serta tiga utas jam tangan yang dianggarkan bernilai RM36,750 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

    Sementara itu dalam operasi berasingan pada 9 Februari lepas, Khaw berkata polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM11.43 juta susulan penahanan seorang lelaki berumur 31 tahun di tempat letak kereta sebuah kondominium di Batu Caves.

    Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap kenderaan lelaki itu, polis menemukan lima beg berisi 50 bungkusan dadah syabu disembunyikan di tempat duduk belakang kenderaan, selain 32 bungkusan lagi disyaki dadah jenis ketamin di dalam but kereta.

    “Lelaki itu kemudian telah membawa polis ke sebuah unit kondominum di situ dan hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan enam guni berisi 36 bungkusan syabu serta 139 bungkusan ketamin di ruang tamu unit kondominum itu dengan jumlah dadah dirampas dianggarkan boleh digunakan 1.02 juta penagih,” katanya. – Bernama

    Datuk Seri Khaw Kok Chin (tiga, kiri) bersama barang rampasan selepas menumpaskan dua sindiket mengedar dadah dalam dua serbuan berasingan antara 4 hingga 9 Februari lepas melibatkan jumlah rampasan lebih RM12 juta. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda