KUALA LUMPUR, 18 APRIL – Sebanyak 269 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai RM13.6 juta dirampas pasukan narkotik Bukit Aman hasil pemeriksaan ke atas sebuah rumah di sekitar Bandar Baru Sri Petaling, Isnin lepas.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata serbuan itu dibuat susulan penahanan dua lelaki tempatan yang disyaki berperanan sebagai penjaga stor dan pengedar (runner) dadah berkenaan.
Beliau berkata kedua-dua suspek yang berumur 43 dan 42 tahun itu ditahan di sebuah restoran dan kini direman lima hari bermula Selasa lalu.
“Hasil tangkapan, polis memeriksa sebuah rumah yang disewa oleh kedua-dua suspek dan telah menemui 269 bungkusan dadah (satu bungkus dianggarkan seberat satu kilogram) dalam bungkusan teh herba.
“Sebanyak 210 bungkusan mengandungi dadah jenis ketamin, 55 bungkusan syabu dan empat bungkusan jenis ekstasi. Dianggarkan jumlah kesemua dadah ini boleh merosakkan seramai 1 juta pengguna,” katanya pada sidang media JSJN di Bukit Aman hari ini.
Menurut Mat Zani, rumah teres dua tingkat yang disewa suspek sejak November tahun lepas dijadikan stor untuk menyimpan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara seperti Hong Kong dan Indonesia. “Kedua-dua suspek menerima bayaran sebanyak RM26,900 untuk menjaga dan menghantar dadah-dadah ini dan saringan ujian air kencing mendapati mereka berdua positif dadah jenis methamphetamine. – Bernama
