NEW DELHI, 2 NOV – Polis India merampas empat tan mercun haram yang boleh mencemarkan udara ketika bandar mega India itu memasuki musim asbut dengan 20 juta penduduknya mengalami sesak nafas disebabkan pencemaran udara yang teruk.
Sebelum ini, jutaan mercun akan dinyalakan semasa Diwali, perayaan cahaya Hindu, yang akan dilangsungkan pada penghujung minggu ini di seluruh negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk.
Di Delhi, asap bercampur dengan ekzos kereta, pencemaran dari kilang, habuk pembinaan dan pembakaran tanaman dari negeri berhampiran menyebabkan keracunan yang semakin buruk dan melepasi tahap selamat sehingga 20 kali ganda.
Bagi mengurangkan pencemaran, pihak berkuasa sama seperti tahun sebelumnya melarang pembakaran mercun di bandar-bandar mempunyai tahap udara yang teruk.
Kelmarin, empat tan mercun dirampas dari pelbagai lokasi di Delhi selepas pihak polis membuat serbuan ke pasar-pasar dan menahan puluhan yang menjual secara haram mercun tersebut.
Media melaporkan sebahagian mercun dihasilkan dari kilang-kilang haram dan dibawa ke Delhi dari negeri berhampiran, Haryana dan Uttar Pradesh.
Delhi kelmarin mengalami hari pertama musim udara ‘teruk’ sementara bandar Ghaziabad dan Noida merekodkan kualiti udara ‘sangat teruk’ mengikut indeks kerajaan. – AFP
