KUALA LUMPUR, 22 MAC – Polis merampas sepucuk pistol yang disyaki digunakan seorang warga emas yang tidak berpuas hati dengan ejen penarik kereta, di mana video kejadian menjadi tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata senjata api itu dirampas daripada suspek berusia 60 tahun yang bekerja sendiri, selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang semalam.
Kejadian didakwa berlaku pada 10.55 pagi Selasa lepas di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras semasa pengadu dan seorang rakan dikatakan mahu menarik kereta didakwa tertunggak bayaran pinjaman dan sedang dipandu anak perempuan suspek.
“Suspek didakwa telah datang ke lokasi kejadian untuk menghalang tindakan pengadu dan berlaku perselisihan faham kerana pengadu tidak dapat mengemukakan surat bank dan laporan polis berkaitan tunggakan bayaran itu.
“Suspek kemudiannya didakwa mengeluarkan pistol dari belakang badan dan mengacunya ke arah pengadu serta mengarahkan dia dan rakannya untuk beredar dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pengadu yang berusia 34 tahun itu meninggalkan lokasi kejadian kerana bimbang, namun sempat merakam perbuatan suspek memegang senjata api itu, sebelum membuat laporan polis pada 12.48 tengah malam kelmarin.
Mohd Zaid mengesahkan suspek yang mempunyai lesen senjata api yang sah turut membuat laporan polis mendakwa bertindak sedemikian kerana curiga terhadap niat suspek.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.- Bernama

