Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis rampas rokok, minuman keras

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan PPDB

    TEMBURONG, 30 APRIL – Sejumlah 103 karton rokok, 72 botol dan 96 tin minuman keras pelbagai jenama telah ditemui semasa operasi rondaan keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan Kampung Belais Kecil, Daerah Temburong, kelmarin (29 April).

    Pada malam kejadian pihak polis telah mendapati sebuah kenderaan berada di kawasan tersebut dalam keadaan mencurigakan, namun sejurus menyedari kehadiran pihak polis pemandu kereta segera melarikan diri ke kawasan hutan yang berdekatan dan meninggalkan kenderaannya.

    Pihak polis kemudian melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut dan telah menemui kotak yang berisi barangan tegahan iaitu rokok diletakkan di bahagian belakang penumpang kereta tersebut.

    Pemeriksaan kawasan sekitar turut dijalankan yang membawa penemuan sejumlah kotak dipercayai berisi rokok dan juga minuman keras.

    Kesemua barangan yang ditemui telah dirampas dan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan awal sebelum diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan seterusnya.

    Dalam pada itu, kenyataan pihak polis menegaskan bahawa agensi penguat kuasa undang-undang di negara ini tidak akan kendur-kendur, malah akan mempergiatkan lagi usaha dalam mempelbagaikan strategi pencegahan demi menumpaskan dan mengekang apa jua kegiatan penyeludupan yang melanggar undang-undang di negara ini dengan sewajarnya daripada terus berleluasa.

    Pihak berkuasa turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada masyarakat awam yang sering menyalurkan maklumat penting kepada pihak-pihak berwajib dalam sama-sama bertanggungjawab, mendukung dan membantu agensi-agensi penguat kuasa, bagi memastikan Negara Brunei Darussalam sentiasa dalam keadaan aman dan juga sejahtera.

    Antara kotak berisi rokok dan minuman keras yang ditemui semasa pemeriksaan pihak polis di kawasan Kampung Belais Kecil, Daerah Temburong.
    Kereta mencurigakan yang ditemui di kawasan Kampung Belais Kecil, Daerah Temburong, semasa rondaan berkenaan. – Gambar serahan PPDB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda