Polis Sabah rampas 10.3kg syabu bernilai RM1 juta

KOTA KINABALU, 6 Jan – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah menahan dua lelaki dan merampas 10.3kg dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1 juta di sebuah bilik hotel di sini, dua hari lepas.

Ketua JSJN negeri Supt Mohamed Fadzil A Rahman berkata susulan siasatan terhadap dua lelaki itu, polis menahan seorang lagi lelaki dan seorang wanita di lokasi berlainan di sini.

Kesemua suspek berumur antara 20 hingga 34 tahun itu ditahan reman bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

“Dalam serbuan kira-kira 2:45 pagi itu, pemeriksaan terhadap beg dalam bilik itu mendapati mengandungi empat bungkusan plastik berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 10,332 gram,” katanya. Katanya polis turut menyita tiga buah kenderaan dan merampas empat barang kemas serta membekukan satu akaun bank membabitkan nilai RM158,925. – Bernama

Supt Mohamed Fadzil A Rahman (dua, kiri) menunjukkan dadah jenis syabu bernilai RM1 juta yang dirampas dalam dua serbuan di Kota Kinabalu ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kelmarin. – Bernama
Supt Mohamed Fadzil A Rahman (dua, kiri) menunjukkan dadah jenis syabu bernilai RM1 juta yang dirampas dalam dua serbuan di Kota Kinabalu ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kelmarin. – Bernama