Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Sabah rampas dadah RM840,000

    KOTA KINABALU, 7 JULAI – Polis Sabah merampas dadah jenis Syabu seberat 14 kilogram bernilai RM840,000 dan menahan lima lelaki dipercayai ‘orang tengah’ terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di beberapa daerah di negeri itu, pada awal minggu ini.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata kesemua suspek berusia antara 17 tahun hingga 40an dan siasatan awal mendapati mereka dipercayai bergiat aktif dengan kegiatan pengedaran itu, sejak awal tahun ini.

    “Hubung kait kegiatan antara lima lelaki ini masih kita siasat, pada masa ini kita percaya dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan di sekitar negeri ini  dan ke luar negara. Ada lagi suspek yang kita buru tetapi masih dalam siasatan.

    “Kita percaya mereka ini ‘orang tengah’ yang mana mereka membeli dadah daripada satu pihak sebelum menjualnya kepada orang lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

    Beliau berkata tangkapan pertama ialah pada Ahad lalu (3 Julai) melibatkan seorang lelaki tempatan di Kilometer 68 Jalan Sandakan-Lahad Datu, apabila pemeriksaan terhadap keretanya menemukan sebuah kotak mengandungi 10 bungkus dipercayai dadah jenis Syabu dengan berat 10.05 kilogram.

    Jauteh berkata pada hari sama, seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing ditahan di Semporna bersama dadah Syabu seberat 2.03 kilogram.

    Katanya dalam tangkapan berasingan pada keesokkan harinya, polis menahan seorang lelaki warga asing bersama 1.07 kilogram dadah Syabu di Inanam di sini, dan sementara seorang lelaki warga asing ditahan bersama 1.05 kilogram dadah jenis sama di Tuaran pada hari sama. – Bernama

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, hari ini. – Bernama

    Ikuti berita lanjut dalam Edisi Sabtu/Ahad (Media Permata)

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda